Dr Mohd Yadzil Yaakub.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Melaka digesa memberi perhatian terhadap kedudukan hampir separuh syarikat miliknya yang didakwa sedang mengalami masalah kewangan serius.

Ketua Pembangkang, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, syarikat-syarikat itu masih bertahan hasil bantuan kewangan daripada kerajaan negeri menggunakan wang rakyat.

Dakwanya, pentadbiran Seri Negeri lebih gemar mengejar ‘kosmetik politik’ berbanding impak ekonomi sebenar susulan isu tersebut.

“Rakyat tidak boleh terus disuap dengan angka-angka statistik yang memukau sedangkan realitinya jauh panggang dari api.

“Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 mendedahkan 21 daripada 45 syarikat aktif milik kerajaan negeri mempunyai isu ‘usaha berterusan’ (going concern). Dalam bahasa mudah, hampir separuh syarikat kita adalah syarikat zombi.

“Paling menyedihkan, syarikat-syarikat yang gagal ini terus bernafas melalui ‘talian hayat’ wang rakyat. Sebanyak RM147.39 juta wang rakyat telah diberikan sebagai pendahuluan setakat akhir 2023 untuk menyelamatkan entiti-entiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau turut menyebutkan beberapa agensi seperti Universiti Islam Melaka Berhad (UIMB) yang menelan RM61.06 juta dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) yang mengambil RM42.13 juta.

“Sampai bila kita mahu menggunakan kantung negeri untuk mensubsidi kegagalan pengurusan?

“Adakah alasan kepentingan awam digunakan untuk menghalalkan kerugian yang berterusan tanpa ada usaha untuk membaiki model perniagaan?” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman pelaburan RM14.68 bilion yang dibanggakan kerajaan, Dr Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban turut mempersoalkan sejauh mana angka di atas kertas itu benar-benar `mendarat’ ke poket rakyat.

“Meskipun angka pelaburan diluluskan itu tinggi, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) masih menunjukkan trend anak muda Melaka berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura demi mencari gaji bermaruah.

“Jangan kita syok sendiri dengan komitmen kertas. Jika benar pelaburan mencurah-curah, mengapa tenaga mahir kita masih lari?

“Adakah kita hanya membina kilang untuk membiarkan rakyat kekal sebagai buruh murah?” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor pelancongan dan inovasi dilihat seperti tidak berpijak di bumi nyata.

“Sangat mencuit hati apabila kita sibuk mendigitalkan urusan orang yang sudah meninggal dunia, sedangkan orang yang masih hidup di Melaka ini masih berdepan masalah jalan berlubang, kesesakan trafik yang memenatkan, dan isu air yang tidak menentu.

“Jangan kejar awan sehingga lupa memijak bumi yang nyata. Kita mahu bina landasan untuk Airbus (lapangan terbang), sedangkan jalan kampung sempit dan daif.

“Jangan sampai infrastruktur megah ini akhirnya menjadi satu lagi projek gajah putih,” katanya.

Tambahya, kerajaan negeri perlu segera membentangkan Pelan Pemulihan Kewangan Komprehensif bagi menyelamatkan syarikat-syarikat ‘zombi’ tersebut dan berhenti berselindung di sebalik persembahan slaid yang cantik.

“Rakyat makan nasi, bukan makan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berhentilah berselindung di sebalik kejayaan kosmetik,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast