KUALA LUMPUR – Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) menyeru secara terbuka kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan agar mempertimbangkan langkah ke arah penyatuan strategik demi kepentingan rakyat.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, Berjasa juga bersedia menjadi pihak ketiga untuk membawa agenda itu ke meja rundingan.
Menurut beliau, kerjasama strategik itu amat penting bagi memperkukuh kestabilan politik negeri dan mengangkat mandat rakyat.
“Rakyat telah sangat terbeban dengan pelbagai isu yang gagal diselesaikan kerajaan hari ini, jangan ditambah lagi isu baru yang menyesakkan kehidupan rakyat seharian.
“Kerjasama ini juga titik tolak bagi mengembalikan kekuatan suara ummah dan usaha mengangkat prinsip penyatuan yang menekankankesepaduan, kestabilan, dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas pagi tadi.
Menurut Jalaluddin, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik. – MalaysiaGazette
















