MAKKAH – Minggu pertama operasi haji Malaysia berjalan lancar dan setakat semalam, seramai 7,489 orang jemaah telah tiba di Tanah Suci termasuk 2,630 jemaah telah tiba di Makkah dan 4,859 orang lagi sedang berada di Madinah.
Malah, penerbangan yang membawa jemaah Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga mengikut jadual.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, sebanyak 25 penerbangan dari KLIA telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad AbdulAziz di Madinah.
“Pergerakan jemaah ke Kota Makkah dari Madinah juga lancar seperti yang dijadualkan, di mana setiap hari terdapat dua hingga tiga bas yang membawa jemaah mengikut ke maktab penginapan di Makkah,” katanya pada sidang media di sini.
Menurutnya, penginapan jemaah di Makkah dibahagikan kepada Zon A iaitu di kawasan Hafaer di Abraj Al Tayseer yang menempatkan jemaah Maktab 63 dan 64, Hotel Al-Kiswah Towers bagi Maktab 65, Hotel Rehab Al-Jandariyah yang menempatkan jemaah dari Maktab 68.
Sementara itu di Zon B pula terdapat dua penginapan hotel iaitu di kawasan Syaib Amir yang pertamanya Hotel Al-Braj Al-Jandariyah yang menempatkan jemaah dari Maktab 66 dan 67, Hotel Qasar Al-Jandariyah untuk Maktab 67.
“Kesemua sektor perkhidmatan untuk jemaah haji di Makkah dan di Madinah juga telah diaktifkan dan beroperasi sepenuhnya.
“Alhamdulillah secara keseluruhannya jemaah haji berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan sedang menyesuaikan diri dengan persikitaran di sini dalam keadaan cuaca agak panas di sini,” ujarnya pada sidang media di sini.
Katanya, klinik perubatan di setiap bangunan penempatan jemaah haji juga telah dibuka dan bersiap sedia untuk membantu jemaah dalam urusan perubatan dan kesihatan.
Namun, jemaah haji diingatkan untuk minum air dan mendapat rehat secukupnya, elak aktiviti luar serta menjaga keselamatan diri.
Beliau turut mengingatkan semua jemaah haji memuat naik aplikasi THhujjaj daripada Tabung Haji dan Nusuk (Arab Saudi) bagi memudahkan urusan ibadah mereka.
Katanya, TH juga mengadakan pelbagai program kerohanian dan bimbingan di bangunan penginapan masing-masing supaya jemaah dapat memanfaatkan masa yang sebaiknya.
Mohd Hisham sekali lagi mengingatkan agar jemaah haji Malaysia sentiasa mematuhi undang-undang Arab Saudi dan arahan yang dikeluarkan oleh TH.
“Sentiasa memakai dan mempamerkan kad Nusuk yang dibekalkan kepada jemaah kerana kad ini akan diperiksa oleh polis di check point sama ada di sekitar bangunan penginapan mahupun semasa hendak masuk ke Masjidil Haram.
“Sekiranya tak pakai ada kemungkinan mereka ditahan dan ditanya, disoal dan ini akan memakan masa untuk pergi ke masjid,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















