KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki mencabul juruwang wanita membawa padah apabila dia ditahan polis dalam kejadian di sebuah pasar raya di sekitar Tawau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 57 tahun itu diberkas semalam kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut hasil maklumat dan tindakan pantas polis.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berusia 20 tahun didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan lokasi barangan.
“Suspek meminta mangsa menunjukkan lokasi barangan sebelum wanita itu mengikutnya ke bahagian rak sabun.
“Namun, ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa sebelum wanita itu membuat laporan polis.
“Hasil serbuan, polis turut merampas beberapa helai pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan.
“Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















