GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjaya menyiapkan Program Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang menggantikan semua paip bawah air di sungai berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan air berpanjangan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk IR K. Pathmanathan berkata, program itu melibatkan tiga projek utama yang siap secara berperingkat sejak April tahun lalu hingga bulan ini, dengan jumlah pelaburan RM16.203 juta.
Katanya, projek SP-RCP 1 siap pada 27 April 2025 di Kampung Telok dan Taman Ampang Jajar dengan kos RM7.879 juta, diikuti SP-RCP 2 pada 28 Januari lalu di Jalan Permatang Pasir (RM3.238 juta), dan SP-RCP 3 semalam, di Kampung Bagan Serai (RM5.086 juta).
“Kesemua paip baharu itu menggantikan jajaran lama yang dipasang sejak 1990-an.
“Langkah itu diambil susulan insiden paip bawah air berdiameter 1,350mm di Taman Ampang Jajar yang pecah pada 18 Disember 2023 sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada kira-kira 200,000 pengguna di beberapa daerah di negeri ini.
“Kerja pembaikan ketika itu mengambil masa 56 jam untuk disiapkan, manakala pemulihan bekalan air mengambil masa tambahan 72 jam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Pathmanathan, pelaksanaan SP-RCP turut menggunakan teknologi hot tapping dan line-stopping yang membolehkan kerja sambungan akhir dilakukan tanpa gangguan bekalan air berjadual (SWSI), termasuk pada SP-RCP 3 yang memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pengguna serta SP-RCP 2 yang melibatkan 26,000 pengguna.
“Tiada lagi ancaman kebocoran atau paip bawah air pecah di sungai ini yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air berpanjangan.
“Antara manfaat utama program itu ialah peningkatan kestabilan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna, tekanan air lebih baik, akses penyelenggaraan lebih mudah, kos pembaikan lebih efisien serta jangka hayat paip baharu sehingga 25 tahun atau lebih.
“Kita akan terus melaksanakan teknologi tanpa gangguan bekalan air itu bagi kerja-kerja penyambungan paip utama pada masa hadapan tertakluk kepada pertimbangan kejuruteraan,” katanya. – MalaysiaGazette















