KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran gambar yang didakwa berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor yang dimuat naik melalui akaun Facebook “Huayan The Pureland Learning Centre” pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, pihak polis telah mengenal pasti pemilik atau pentadbir akaun terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk proses merampas peranti yang digunakan, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Setakat ini sebanyak 21 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu sama. Seramai 21 saksi termasuk individu yang membuat laporan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbuatan tersebut jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan menyalahi undang-undang, khususnya melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).
Orang ramai turut dinasihatkan agar lebih berhemah serta bertanggungjawab dalam setiap penyebaran maklumat atau kandungan di ruang awam dan media sosial selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai batasan tertentu terhadap kebebasan bersuara. – MalaysiaGazette
















