MUAR – Penyokong UMNO yang menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) boleh ‘membantu’ memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi bantuan mereka PN akan dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas PRN.
Jelasnya yang juga Bendahari Agung PN, walaupun pemimpin UMNO menyokong DAP, ahli di peringkat akar umbi didakwa menolak kerjasama UMNO dan DAP yang dipanggil `UMDAP’.
Menteri Besar Kedah itu berkata, keadaan di Johor juga berbeza dengan situasi kerajaan di peringkat Pusat kerana tidak wujud Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau percaya di sebalik ketiadaan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, pemimpinnya mempunyai perjanjian secara tersembunyi supaya `UMDAP’ dilihat tidak wujud di Johor.
“Saya rasa kalau orang BN di negeri-negeri selatan menolak DAP dan PH, orang-orang kampung boleh bersama PN dan kita boleh bersama menubuhkan kerajaan di Johor.
“Menteri Besar Johor kawan baik saya. Saya percaya dia orang baik dan dia tidak suka DAP dia bagitau saya,” dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman.
Muhammad Sanusi mendakwa, kerjasama politik antara UMNO dan PH mempunyai sebab lain iaitu untuk membolehkan seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri, manakala seorang pemimpin lagi terlepas daripada kes mahkamah.
Sementara itu, Mahfodz berkata, Pas berhasrat merampas kerusi Parlimen Muar daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, Pas juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada PRN Johor akan datang.- MalaysiaGazette
















