KUALA LUMPUR – Pas sudah memilih antara 15 hingga 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perikatan Nasional (PN) juga akan memuktamadkan calon-calon parti itu pada PRN Melaka tidak lama lagi.
Terdahulu, menurutnya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Pas Melaka kini berada dalam keadaan bersedia dan bersiap siaga bagi berdepan PRN Melaka.
“Pas Melaka sudah menggerakkan jentera pilihanrayanya.
“Jentera 13 “Negeri Bantu” sudah di tauliahkan untuk turut bertugas di kesemua 6 kawasan parlimen(3 daripadanya sudah pun di tawan PN).
“Perikatan Nasional yang di tunjangi PAS tentunya bersedia meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN,” katanya menerusi laman Facebooknya semalam.
DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 27 Disember depan.
Dari sudut perundangan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran, menjadikan PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Februari 2027. – MalaysiaGazette
















