KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor memandang serius serta mengecam setegas-tegasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang menghina institusi kesultanan, khususnya terhadap Sultan Selangor, melalui penyebaran di media sosial menggunakan akaun palsu.
Yang Dipertuanya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, perbuatan tersebut bersifat amat biadab, melampaui batas nilai kemanusiaan sejagat serta norma masyarakat berperadaban.
Malah, ujarnya, ia juga mencerminkan suatu bentuk penyimpangan akhlak dalam ruang komunikasi awam.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kehormatan institusi kesultanan, malah berpotensi menimbulkan ketegangan serta menggugat keharmonian sosial yang selama ini dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
“Perbuatan berselindung di sebalik identiti palsu untuk menyebarkan kebencian merupakan satu penyalahgunaan ruang digital yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, ujarnya, ABIM Selangor akan membuat laporan polis berhubung isu tersebut dan pada masa sama menyeru orang ramai untuk lapor-sekat halaman berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai melaporkan laman media sosial berkenaan kepada pihak polis agar pelaku dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan sewajarnya menurut lunas undang-undang.
“ABIM Selangor juga mendesak pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang segera dan sekeras-kerasnya bagi memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Tambahnya, ABIM Selangor menegaskan bahawa institusi kesultanan merupakan paksi kedaulatan, perpaduan serta payung kepada kesejahteraan negeri yang wajib dihormati dan dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.
Ujarnya, sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi ini tidak boleh sama sekali dinormalisasikan dalam mana-mana ruang, sama ada fizikal mahupun digital.
“ABIM Selangor menyeru seluruh masyarakat agar mengamalkan etika komunikasi yang berhemah, menjunjung tinggi nilai adab serta bersama-sama menolak sebarang bentuk provokasi, fitnah dan penghinaan yang merosakkan tatanan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette















