Saifuddin Shafi Muhammad (tengah) ketika membuat laporan polis hari ini.

SHAH ALAM –  Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad hari ini membuat laporan polis susulan penyebaran poster jelik yang didakwa menghina institusi diraja melibatkan Sultan Selangor.

Saifuddin berkata, tindakan itu diambil bagi mendesak siasatan segera terhadap kandungan yang tular sejak beberapa hari lalu yang disifatkan melampau dan tidak boleh diterima.

Menurutnya, hantaran berkenaan bukan sekadar biadab, malah dilihat sebagai cubaan mencetuskan kebencian serta menggugat keharmonian masyarakat.

“Ini bukan sekadar perbuatan tidak bertanggungjawab, tetapi satu percubaan jahat yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan menggugat kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin menegaskan, kes itu wajar disiasat di bawah Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan kerana berunsur menghasut serta berpotensi mencetuskan ketakutan awam.

Katanya, tindakan sama juga boleh diambil di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan 1948 yang melarang sebarang perbuatan menghina institusi diraja dan merosakkan hubungan antara kaum.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat kes itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

“Individu yang terlibat tidak boleh dibiarkan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai tidak terpengaruh dengan provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

“Kita mesti kekal rasional, bersatu dan mempertahankan institusi negara yang menjadi tonggak kestabilan Malaysia,” ujarnya lagi.

Tambah Timbalan Setiausaha Agung Keadilan itu, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan perbuatan seumpama itu tidak berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast