PUTRAJAYA – Usaha dan kempen yang dilaksanakan dalam sektor hal ehwal agama disifatkan membuahkan hasil apabila menunjukkan impak positif kepada rakyat serta memperkukuh pentadbiran dan pengurusan agama di negara ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, penilaian semasa mendapati pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja berkesan, malah meletakkan Malaysia ke hadapan dalam beberapa aspek berkaitan pengurusan hal ehwal Islam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua pihak tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian tersebut, sebaliknya perlu terus berusaha memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Walaupun kita lihat hasilnya positif, kita tidak boleh selesa. Kita perlu terus berusaha sedaya mungkin untuk memastikan hal ehwal agama ini terus cemerlang dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.
Beliau turut berkongsi satu amanat berbentuk video yang mengetengahkan imaginasi masa depan hal ehwal agama yang lebih gemilang, bukan sahaja dari segi penyampaian perkhidmatan tetapi juga dalam membentuk pemikiran masyarakat terhadap pemahaman Islam yang sebenar.
Pada masa sama, Zulkifli mengajak semua pihak dalam sektor tersebut untuk memainkan peranan sebagai “pencerita” yang membawa naratif ketamadunan Malaysia berteraskan nilai Islam yang sebenar.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, kesemua 14 agensi di bawah sektor hal ehwal agama telah merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang kini sedang dipantau dari segi pelaksanaan dan keberkesanannya.
“Kita sedang memantau semua pelaksanaan ini dan sekiranya terdapat kekurangan, penambahbaikan akan dibuat. Fokus kita sekarang adalah memastikan setiap strategi yang dirancang memberi hasil dan natijah yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















