KOTA TINGGI – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru sahaja mendarat dicekup di sebuah rumah persinggahan di Sungai Rengit di sini, semalam.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama-sama anggota Tentera Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee menyerbu rumah berkenaan yang dijadikan lokasi persinggahan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, operasi berkenaan dilakukan antara pukul 11.45 malam hingga 4 pagi.
“Hasil pemerhatian beberapa minit di lokasi mendapati kumpulan terbabit dipercayai baru tiba sebelum polis menyerbu dan menahan 10 lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi lelaki PATI Indonesia dan seorang lelaki tempatan di dua lokasi berasingan yang dipercayai bertindak sebagai dalang membantu kemasukan migran berkenaan.
Katanya, semua suspek yang berusia antara 36 hingga 58 tahun dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222.- MalaysiaGazette
















