Foto: Viory

JAKARTA – Lima dilaporkan maut setakat ini manakala puluhan lain lagi dilaporkan cedera selepas kereta api jarak jauh merempuh perkhidmatan komuter yang sedang berhenti di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, malam tadi.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih giat menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian dengan seorang pegawai memberitahu AFP bahawa empat mangsa masih terperangkap di dalam tren yang remuk.

Seorang mangsa yang terselamat menceritakan detik-detik ngeri apabila sebuah kereta api jarak jauh merempuh kereta api komuter yang sedang berhenti yang dinaikinya, menyebabkan penumpang terperangkap dalam tren yang remuk.

“Saya fikir saya akan mati,” kata Sausan Sarifah, 29, kepada AFP ketika mendapatkan rawatan di hospital RSUD Bekasi, akibat patah tangan dan luka di paha.

Katanya, dia sedang dalam perjalanan pulang dari kerja apabila kereta apinya berhenti di stesen Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer dari Jakarta.

“Semuanya berlaku dengan pantas, dalam sekelip mata,” kata Sausan.

“Terdapat dua pengumuman daripada komuter. Semua orang bersedia untuk turun, dan tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat,” katanya.

“Kami tidak sempat keluar, dan semua orang berhimpit-himpit di dalam kereta api antara satu sama lain. Saya tidak tahu keadaan orang yang berada di bawah saya”.

“Syukur saya berada di bahagian atas, jadi saya dapat diselamatkan dengan cepat,” kata Sausan.

Sementara itu, jurucakap pengendali kereta api KAI, Anne Purba memberitahu seorang wartawan AFP bahawa lima orang terbunuh dan 79 orang “masih berada di hospital untuk pemerhatian”.

Jurucakap pejabat mencari dan menyelamat Jakarta, Ramli Prasetio pula berkata bahawa “usaha menyelamat dan proses pemindahan masih diteruskan,” dan penyelamat percaya empat mangsa yang keadaannya belum diketahui masih berada dalam koc yang remuk.

Menurut seorang lagi jurucakap KAI, Franoto Wibowo, sebuah teksi dipercayai melanggar kereta api komuter di lintasan, menyebabkan ia terhenti di landasan sebelum dirempuh.

Ketika penyelamat berusaha menyelamatkan lebih ramai mangsa yang terperangkap dalam koc yang remuk, Timbalan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad berkata, angka korban mungkin meningkat.

“Berdasarkan proses menyelamat yang masih berjalan, kemungkinan jumlah mangsa akan terus meningkat,” katanya kepada wartawan di lokasi.

Franoto memberitahu Kompas TV bahawa pihak tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat negara, serta Palang Merah membantu dalam operasi pemindahan.

Sementara itu, Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, kereta api jarak jauh itu merempuh gerabak terakhir khas wanita dalam kereta api komuter.

Semua mangsa berada dalam kereta api komuter, manakala kira-kira 240 penumpang dalam sebuah lagi kereta api telah dipindahkan dengan selamat, menurut Purba.

Perlanggaran itu menyebabkan “kerosakan besar pada beberapa gerabak kereta api,” menurut kenyataan agensi mencari dan menyelamat Jakarta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast