KLUANG – Hasrat seorang duda yang sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk memadu asmara dengan teman wanitanya berstatus janda di sebuah bilik hotel di bandar ini terbantut apabila diserbu dalam operasi cegah maksiat semalam.
Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dilakukan pukul 1 pagi dalam pemeriksaan secara berkala.
JAINJ memaklumkan, ketika pemeriksaan di sebuah bilik yang mencurigakan, pintu tidak dibuka serta-merta sebaliknya mengambil masa lima minit selepas diketuk dan dipanggil dari luar dengan kuat.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke bilik untuk tindakan lanjut. Keadaan bilik gelap dan selepas lampu bilik dibuka, kelihatan ada seseorang berbungkus dalam selimut atas katil.
“Apabila diminta bangun, lelaki itu buka selimut dan kelihatan kepala seorang wanita. Apabila diminta bangun, dia kelihatan terkedu sebelum memakai seluar panjang dan t-shirt ketat,” menurut kenyataan berkenaan.
Siasatan penguat kuasa mendapati bahasa dan loghat pasangan berkenaan adalah warga asing dan bukan orang tempatan.
Penguat kuasa sekali lagi memperkenalkan diri dan menerangkan dari JAINJ, bukan pegawai polis atau pihak imigresen serta meminta mereka bekerjasama.
Hasil soal siasat pihak penguat kuasa, pasangan berkenaan mengaku hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri.
Kenyataan itu memberitahu, lelaki itu berumur 40-an, warganegara Indonesia, berstatus duda dan bekerja sebagai buruh di Kuala Lumpur.
Wanita pula berumur 40-an juga warganegara Indonesia, berstatus janda dan bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang majikan Melayu di sini.
Lelaki itu menaiki bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Terminal Bas Kluang seterusnya berjalan kaki masuk hotel berkenaan.
Wanita pula tinggal berseorangan di rumah kerana majikannya balik kampung menghadiri rumah terbuka Aidilfitri.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.
Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette
















