Dr Zuhan Zain.

JOHOR BAHRU – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dihukum dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai satu mesej terhadap kegagalan mereka mentadbir dan memahami keperluan rakyat.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, rakyat berhak memilih kepimpinan yang stabil, berintegriti dan benar-benar fokus kepada kebajikan rakyat, bukannya kepimpinan yang menjadikan politik sebagai medan perebutan kuasa tanpa hala tuju jelas.

Jelasnya, antara faktor utama perlu ditolak adalah ketidakprihatinan UMNO dan BN terhadap masalah ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika kos sara hidup terus meningkat.

“Dalam keadaan tekanan ekonomi global yang semakin ketara, kerajaan negeri dilihat gagal memberikan penyelesaian yang tuntas dan berkesan kepada rakyat.

“Amanah Johor turut melihat kerakusan politik UMNO yang sanggup menggugat kestabilan kerajaan negeri yang disertai mereka termasuk perkembangan yang berlaku di negeri lain sebagai bukti bahawa kepentingan kuasa mengatasi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Dakwanya lagi, tindakan tersebut jelas menunjukkan UMNO tidak mencerminkan sikap rakan gabungan yang setia dan bertanggungjawab.

Sebaliknya, ujar beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang, parti tersebut lebih cenderung kepada percaturan politik sempit yang akhirnya merugikan kestabilan negara.

Tambah beliau, Amanah Johor bersama-sama Pakatan Harapan (PH) komited menawarkan alternatif kepimpinan yang lebih bersih, inklusif dan berpaksikan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia yang lebih adil serta progresif.

Ujarnya, Amanah Johor yakin rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak akan lagi terperangkap dengan retorik politik semata-mata

“Mandat rakyat perlu digunakan sebagai suara untuk menolak politik tidak stabil dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast