Vincent Lim Jia Leong didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang jurujual barang binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh dua individu termasuk bekas kekasihnya, pada 15 April lalu.

Tertuduh, Vincent Lim Jia Leong, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melanggar seorang wanita berusia 41, dan lelaki berumur, 44, menggunakan sebuah kereta jenis BMW dengan nombor pendaftaran VER8191 yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan ia mungkin menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.45 malam di tepi Jalan Lorong Perusahaan Maju 8, Auto City, Perai di sini, pada 15 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam, Parmjit Singh.

Ketika prosiding Siti Nur Amalina menawarkan jaminan RM15,000, bagaimanapun Parmjit Singh mohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.

MalaysiaGazette difahamkan dua jurujual cedera ringan selepas dipercayai dilanggar seorang lelaki yang mengekori mereka dari Auto City di sini.

Suspek pada mulanya melanggar kenderaan salah seorang mangsa sebelum mereka berhenti untuk berbincang, susulan perbincangan itu dia bertindak membuat pusingan U dan merempuh kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu kerana wanita berkenaan merupakan bekas kekasih tertuduh yang kini dikatakan mempunyai teman lelaki lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast