ISKANDAR PUTERI – Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di sini mampu menjadi hab kewangan global baharu bagi pelabur antarabangsa susulan ketegangan geopolitik global di Asia Barat ketika ini.
Profesor Madya di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Effandi Yusoff berkata, ini kerana SFZ Forest City dijangka menerima manfaat pelaburan bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) yang memerlukan destinasi pelaburan baharu dengan kestabilan dasar, fleksibiliti percukaian dan politik stabil.
“SFZ Forest City berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai hab kewangan sekali gus boleh memanfaatkan keadaan geopolitik semasa bagi menarik pelabur yang mencari destinasi terbaik untuk dana mereka.
“Forest City yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh menawarkan perkhidmatan tersebut sebagai sebuah lokasi pelaburan selamat, jauh daripada kawasan terdedah kepada konflik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Effandi mengulas mengenai konflik serantau yang semakin memuncak di Iran sehingga mencetuskan perubahan dalam cara pelabur antarabangsa menguruskan kekayaan mereka.
Pelabur antarabangsa kini dilihat berminat untuk mengurangkan risiko dalam landskap global semakin tidak menentu susulan gangguan besar terhadap bekalan minyak yang menjejaskan sektor tenaga serta ekonomi global.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Forest City mampu menawarkan kepada pelabur khususnya dalam sektor kewangan dengan lokasi pilihan yang stabil melibatkan pelbagai aspek selain kedudukan strategik di Asia Tenggara dan disokong kerajaan.
Forest City katanya, berupaya untuk memperluas usaha menarik pelaburan dengan turut memberi tumpuan kepada tawaran perkhidmatan kewangan seperti fintech dan perniagaan berkaitan mata wang kripto sejajar usaha membangunkan ekosistem perkhidmatan kewangan yang komprehensif dan pelbagai.
“Forest City telah menunjukkan daya tarikan industri yang kukuh di mana kehadiran institusi kewangan utama seperti Kumpulan CIMB dan Maybank Berhad telah mewujudkan asas yang mantap bagi sektor kewangan di sini,” katanya.
Mohd Effandi berkata, sebelum konflik tercetus di Asia Barat pada Februari lalu, Johor sudah pun membina reputasi sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara dibantu kestabilan politik tempatan serta hubungan kukuh dengan negara jiran serantau menerusi kerjasama ASEAN.
Menurutnya, Forest City bukan sahaja memiliki lokasi strategik, malah turut memiliki infrastruktur lengkap serta pelbagai insentif ditawar kerajaan yang mampu menarik pelabur dari dalam atau luar negara.
Pada masa sama, beliau turut memuji langkah kerajaan menjadikan SFZ Forest City sebagai pusat khidmat keluarga (FSC) untuk menarik firma pengurusan kekayaan yang berpotensi menerima manfaat susulan tindakan kerajaan Singapura memperketat peraturan pengurusan kekayaan di republik itu.
Tambahnya, peraturan baharu yang lebih ketat di Singapura itu mendorong sebahagian keluarga kaya khususnya dari China untuk mempertimbang memindahkan pejabat keluarga mereka keluar dari republik itu ke destinasi lain dan SFZ Forest City boleh menjadi lokasi pilihan yang baharu. – MalaysiaGazette















