Delegasi Malaysia yang diketuai Saarani dalam satu majlis di Ibu Pejabat UNESCO di Paris.

IPOH – Dua status pengiktirafan antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang diterima Lenggong disifatkan sebagai pencapaian yang membanggakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, status UNESCO Global Geopark yang diterima pada Isnin merupakan status kedua yang diterima Lenggong selepas Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012.

“Ini adalah satu pengiktirafan yang cukup bermakna tatkala banyak negara dunia bersaing mahu mendapatkannya dan akhirnya Lenggong terpilih.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras daripada Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark,” katanya menerusi satu kenyataan pada laman Facebook beliau.

Selain itu Saarani turut menyifatkan pengiktirafan itu bukan hanya untuk negeri Perak dan Malaysia, sebaliknya ia juga kepada orang Lenggong sendiri.

“Semoga pengiktirafan ini akan terus memacu Lenggong sebagai destinasi arkeopelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu melimpahkan lebih banyak nikmat serta manfaat kepada rakyat dan ekonomi setempat,” tambahnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengiktirafan terbaharu itu melengkapkan profil di kawasan berkenaan yang sekali gus meletakkan nama Malaysia dan Perak di persada pelancongan antarabangsa.

Lenggong Geopark menerima secara rasmi status sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark dalam satu majlis di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis pada jam 3.20 petang atau 9.20 malam waktu Malaysia, pada Isnin.

Shamsul Anuar berkata, usaha mempromosi Lenggong UNESCO Global Geopark akan dilakukan melalui Majlis Pelancongan Lenggong, selain mempergiatkan penglibatan komuniti dalam bidang usahawan pelancongan menerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast