Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto SADIQ SANI, 21 APRIL 2026.

KUANTAN – Malaysia menegaskan pendirian untuk terus mengawasi keselamatan Selat Melaka sebagai laluan strategik perdagangan dunia dan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan unilateral terhadap kawasan maritim itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendirian itu selari dengan prinsip centrality (kepusatan) yang menjadi asas pendekatan Malaysia dalam konteks ASEAN, iaitu mengekalkan rantau itu sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.

“Pendekatan ini dikenali sebagai centrality, ia bukan bermaksud kita tidak mempunyai pendirian tetapi kita menyatakan pendirian berdasarkan kepentingan negara,” katanya pada sidang media Program Jelajah Wira MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Beliau berkata konflik di Asia Barat khususnya melibatkan Selat Hormuz, memberi isyarat jelas kepada Malaysia mengenai kepentingan laluan perdagangan strategik dunia.

Katanya Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan tenaga dunia, manakala 80 peratus laluan perdagangan maritim global melalui Selat Melaka.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan Malaysia bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kepentingan domestik malah masyarakat antarabangsa berikutan kedudukan Selat Melaka yang amat kritikal kepada perdagangan global.

“Buat masa sekarang pendekatan kita adalah untuk berinteraksi dengan semua pihak bagi mengekalkan status quo keamanan yang kita rasai sekarang,” katanya sambil menambah Malaysia sentiasa peka terhadap kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi, khususnya melibatkan laluan maritim utama dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata kerajaan komited memperkukuh keupayaan APMM menerusi penambahan aset strategik bernilai berbilion ringgit bagi menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Beliau berkata antara perolehan utama termasuk dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) yang sedang dibina di Turkiye, masing-masing bernilai kira-kira RM400 juta, dengan satu daripadanya dijangka siap awal suku pertama tahun depan dan berpotensi menjadi tumpuan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027).

Katanya APMM juga akan menerima empat helikopter AW189 yang telah selesai proses perolehan dengan anggaran kos RM700 juta serta pembangunan Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh di Sabah dengan nilai sekitar RM88 juta. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast