Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman.

JOHOR BAHRU – Nafas Mall Tanjung Agas di Tangkak kini berdepan risiko menjadi projek gajah putih apabila kadar pengunjung yang rendah serta potensi lambakan lot kosong menimbulkan keraguan terhadap daya maju projek itu.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, perkembangan itu menunjukkan kemungkinan berlakunya kelemahan dalam kajian pasaran dan perancangan awal yang gagal mengambil kira realiti ekonomi setempat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat berhak mempersoalkan tahap ketelusan dalam pelaksanaan projek itu, termasuk proses pemberian kontrak, pengurusan dana serta pihak-pihak yang mendapat manfaat daripadanya.

“Isu Nafas Mall Tanjung Agas wajar diberi perhatian serius kerana ia mencerminkan kegagalan perancangan pembangunan yang tidak berpaksikan keperluan rakyat.

“Peniaga kecil tempatan yang telah lama bertapak didakwa dipinggirkan tanpa jaminan penempatan semula yang adil, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka secara mendadak,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih membimbangkan, dakwanya, mereka kini terpaksa berdepan dengan kadar sewa baharu yang jauh lebih tinggi dan tidak munasabah, sehingga menimbulkan persoalan sama ada projek itu benar-benar dirancang untuk membantu rakyat atau hanya menguntungkan pihak tertentu.

Katanya, projek itu pada asalnya dibangunkan sebagai pusat komersial dan runcit oleh koperasi peladang dengan tujuan menjana pendapatan tambahan serta menyediakan ruang niaga kepada ahli peladang dan komuniti setempat.

Pengurusannya pul, ujarnya, berada di bawah jaringan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bersama-sama Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

Namun, dakwanya, perkembangan semasa menimbulkan persoalan sama ada objektif asal itu masih dipertahankan atau telah tersasar daripada matlamat sebenar.

Dalam masa yang sama, katanya, timbul persoalan besar berkaitan keutamaan kepada peniaga bumiputera tempatan.

“Terdapat dakwaan bahawa peluang perniagaan di Nafas Mall lebih memihak kepada pihak luar atau pemain industri berskala besar, sekali gus menjejaskan hak ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.

Keadaan itu katanya, jelas bercanggah dengan semangat memperkasakan usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan bumiputera yang sepatutnya diberi ruang dan sokongan dalam pembangunan ekonomi di kawasan sendiri.

Suraya memaklumkan, pengurusan Nafas Mall Tanjung Agas mencatat keuntungan tinggi dua tahun ini tetapi peniaganya masih tertekan dengan kos operasi dan peluang semakin terhad.

“Nafas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM201 juta, berbanding RM227 juta pada tahun 2024. Ini merupakan dua tahun berturut-turut mencatatkan keuntungan tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.

“Justeru, timbul persoalan mengapa dalam keadaan organisasi mencatat keuntungan besar, peniaga kecil di bawah ekosistemnya masih tertekan dengan kos operasi yang tinggi dan peluang yang semakin terhad,” katanya.

Pejuang Johor turut menegaskan bahawa kegagalan pihak pengurusan untuk mengadakan libat urus yang menyeluruh dengan komuniti setempat adalah satu kelemahan besar.

Dakwanya, suara peniaga dan penduduk tempatan seolah-olah diketepikan menyebabkan rasa tidak puas hati yang semakin memuncak.

Dalam hal ini katanya, peranan Nafas perlu dinilai semula sama ada masih selari dengan objektif asal dalam membela nasib peladang dan masyarakat luar bandar atau telah tersasar kepada agenda komersial yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menggesa pihak Nafas dan PPNJ segera melaksana penstrukturan semula kadar sewa yang lebih munasabah melalui skim subsidi atau sewa berperingkat bagi membantu peniaga kecil tempatan terus bertahan.

Pada masa yang sama katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pelaksanaan projek itu bagi memastikan ia selari dengan objektif asal penubuhannya serta benar-benar memberi manfaat kepada ahli peladang dan komuniti setempat.

Kerajaan Johor pula disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan wakil peniaga, pihak berkuasa tempatan dan pemegang taruh bagi menilai semula hala tuju projek itu secara inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast