Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegaskan penyatuan ummah tidak boleh dibina atas asas maki hamun, fitnah dan sikap merendahkan orang lain.

Sebaliknya, kata beliau, penyatuan ummah mesti bermula dengan penyatuan adab dan akhlak.

“Kalau agama hanya dijadikan slogan, tetapi lidah masih tajam menghina, jari masih laju memfitnah, dan hati masih penuh kebencian, maka itu bukan penyatuan ummah,” katanya menerusi Facebooknya malam tadi.

TANGKAP layar Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Menerusi hantaran sama, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk turut berkongsi tangkap layar hantaran Facebook individu lain yang berbunyi: “Tahniah UMNO Negeri Sembilan memulakan langkah penyatuan ummah!”

Hantaran serupa sebelum itu dimuat naik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari merujuk kepada konflik politik di Negeri Sembilan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Nurulhidayah berkata, agama Islam tidak mengajar umatnya benar atau betul dengan menjatuhkan maruah orang lain.

Sebaliknya, ujar beliau, Islam mendidik umatnya supaya berbeza pandangan dengan adab, berhujah dengan ilmu, dan berpolitik tanpa hilang rasa kemanusiaan.

“Jadi sebelum bercakap tentang penyatuan ummah, kita perlu tanya diri sendiri, adakah kita benar-benar mahu menyatukan umat, atau sekadar mahu menyatukan sokongan politik atas nama agama?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast