KUANTAN – Dua wanita termasuk seorang pesara guru menjadi mangsa penipuan phone scam dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM1.45 juta dalam kejadian berasingan di Kuantan dan Raub.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun di Kuantan yang diperdaya sindiket itu sejak September 2024.
Menurutnya, mangsa pada awalnya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil platform beli-belah sebelum talian disambungkan kepada suspek yang mendakwa pegawai polis.
“Mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan kad ATM kepada penjenayah.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat akaun sumpah, laporan polis serta merakam suara sebagai pengakuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa turut diugut dengan tindakan tangkapan dan direman sekiranya enggan bekerjasama, selain diarahkan melapor diri sebanyak enam kali sehari setiap tiga jam dan dilarang berkongsi perkara tersebut dengan sesiapa.
Akibat ketakutan, mangsa melakukan sebanyak 122 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank dari September 2024 hingga bulan ini, melibatkan kerugian RM1.014 juta.
“Kerugian tersebut melibatkan simpanan peribadi, wang KWSP, hasil jualan rumah, wang persaraan, pinjaman, gadaian barang kemas serta pelaburan lain milik mangsa,” jelasnya.
Dalam kes kedua di Raub, seorang guru wanita berusia 42 tahun turut menjadi mangsa selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai syarikat takaful sebelum disambungkan kepada ‘pegawai polis’.
Mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam tuntutan insurans palsu, pengubahan wang haram dan rasuah sebelum diarahkan mengisytiharkan akaun bank serta menukar nombor telefon bagi tujuan perbankan internet.
Susulan itu, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun di bawah kawalan suspek kononnya bagi tujuan siasatan dan jaminan mahkamah, menyebabkan kerugian RM431,000.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan mencurigakan, khususnya yang melibatkan dakwaan kes jenayah atau urusan kewangan.
Orang awam juga digalakkan membuat semakan nombor akaun melalui portal Semak Mule serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette
















