Aznan bersama penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bilik Guru Johor di Dewan Bestari Felda Adela, Pengerang, malam tadi.

PENGERANG – Sebanyak RM5.975 juta diperuntukkan untuk menaik taraf bilik guru yang memberi manfaat kepada lebih 49,000 guru di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, ini melibatkan 1,195 sekolah termasuk sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)

“Setiap bilik guru sekolah Johor akan menerima RM5,000 secara berfasa yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan penambahbaikan atau pembelian kemudahan.

“Antaranya seperti penghawa dingin, kerusi, meja, sofa dan keperluan lain. Usaha ini memastikan para guru dapat menjalankan tugas dalam suasana yang lebih selesa, dihargai dan bermotivasi tinggi,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bilik Guru Johor di Dewan Bestari Felda Adela, di sini malam tadi.

Beliau berkata, menariknya bantuan itu bukan bersifat bermusim tetapi telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2022.

Aznan berharap inisiatif murni itu terus diperkasakan bagi menyuntik semangat warga pendidik untuk terus berbakti dan melahirkan generasi Bangsa Johor yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak tinggi.

Katanya, peruntukan RM110,000 bagi DUN Tanjung Surat bukan sekadar angka, tetapi satu simbol penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para guru yang saban hari mendidik dengan penuh dedikasi.

Menurut Aznan, sebanyak 22 buah sekolah dalam kawasan DUN Tanjung Surat menerima bantuan tersebutm

“Keprihatinan ini membuktikan bahawa kebajikan warga pendidik sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast