KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu membuktikan ketegasan dalam membanteras penyalahgunaan bahan terlarang apabila berjaya mensabitkan tiga kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 di Mahkamah Majistret di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, ketiga-tiga kes tersebut melibatkan kesalahan memiliki, memproses atau menjual bahan seperti ketum dan ubat batuk tanpa lesen sah daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, bagi kes pertama yang dituduh pada 6 Februari lalu, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM40,000 atau penjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda.
“Kes kedua pula yang dituduh pada 6 April lalu turut dikenakan denda RM40,000 atau penjara 24 bulan, manakala kes ketiga yang dituduh pada 23 April lalu dijatuhi hukuman denda RM18,000 atau penjara 15 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sabitan tersebut membuktikan komitmen berterusan pihak BSJN dalam memerangi aktiviti haram berkenaan di daerah itu.
“Saya memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang masih terlibat supaya menghentikan kegiatan ini dengan segera.
“BSJN akan terus menjalankan risikan dan operasi secara berterusan bagi memastikan daerah ini bebas daripada aktiviti haram ini, tiada kompromi,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kesalahan memiliki, memproses atau menjual ketum serta ubat batuk tanpa lesen merupakan jenayah serius di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika disabitkan kesalahan, ujarnya, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis menerusi talian Hotline IPD Lahad Datu di 089-881111, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – MalaysiaGazette
















