JOHOR BAHRU – Polis menahan enam orang suruhan along yang aktif melakukan ugutan jenayah termasuk menyimbah cat dan serangan menggunakan molotov cocktail dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua suspek ditahan selepas seorang pesara membuat laporan polis pada 7 April lalu selepas rumahnya di Taman Mount Austin di sini disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.
“Mangsa yang berusia 52 tahun percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan penyewa rumahnya yang disyaki membuat pinjaman wang tidak berlesen di negara jiran.
“Bertindak atas risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan kerjasama IPD Kajang berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang menaiki Perodua Bezza di kawasan Bangi, Selangor pada 9 April lalu.
“Suspek bertindak agresif merempuh pasukan polis sebelum melarikan diri, namun berjaya ditahan pukul 11.30 malam di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, susulan penahanan itu, polis menjalankan serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan lima lagi individu menjadikan keseluruhan tangkapan seramai enam orang.
Jelasnya, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 42 tahun.
Siasatan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing juga positif dadah, katanya.
Ab Rahaman berkata, dalam serbuan tersebut polis merampas sepucuk pistol bersama-sama dua butir peluru hidup, enam helai kertas mengandungi tuntutan hutang dan sebuah kereta jenis Honda Jazz.
“Siasatan mendapati suspek menerima bayaran sekitar RM600 bagi kerja simbah cat dan RM1,000 bagi melakukan serangan menggunakan molotov cocktail,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati kumpulan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Melaka, Perak dan Pahang melibatkan ugutan, khianat serta serangan berkaitan pinjaman wang tidak berlesen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan lain termasuk kesalahan memiliki senjata api dan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, polis kini bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mengesan dalang utama sindiket tersebut. – MalaysiaGazette
















