Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyokong agar tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun dibawa pulang ke tanah air.

Beliau berkata, gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara dan perlu ditempatkan di habitat semula jadi mereka.

“Berdasarkan gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai pihak termasuk NGO dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan.

“Sehubungan itu, saya juga turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia dan seterusnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.

“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan di Zoo terbabit.

Hari ini, media melaporkan kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Jepun di Malaysia, Noriyuki Shikata serta pihak pengurusan zoo bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program konservasi terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast