Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang bekas pembuat gigi palsu atas kesalahan membunuh teman wanitanya pada 2019.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Lim Siong Kim, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dijatuhkan pada prosiding di akhir kes pembelaan itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Jun 2019.

Menerusi alasan penghakimannya, Atan Mustaffa berkata, tertuduh adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa dan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa di bengkel gigi palsu tertuduh.

Selain itu kata Hakim Mahkamah Tinggi itu, terdapat keterangan kawan kepada tertuduh yang mengesahkan ada membantu tertuduh membuang kotak di Taman Setia Indah dan tertuduh sendiri telah memandu arah polis ke tempat pembuangan kotak berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siong Kim didakwa membunuh Teo Kang Ling yang berusia 33 tahun ketika kejadian di No 17-01, Jalan Setia Indah di sini, pukul 8 pagi, pada 3 Jun 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum gantung, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam G Ravi, Aida Hassan, Datin Freda Sabapathy dan Saravanan.

Seramai 12 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan, manakala pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi pembelaan ketika prosiding bela diri.

Berdasarkan fakta pendakwaan, punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh lemas akibat tekupan pada saluran pernafasan.

Pada 11 Jun 2019, media melaporkan penemuan kotak berisi mayat seorang wanita di tepi jalan di kawasan perindustrian Taman Setia Indah di sini, sekali gus merungkai kehilangan wanita terbabit yang dikatakan kali terakhir dapat dihubungi adalah pada 29 Mei 2019.

Wanita itu dikatakan dibunuh di tempat lain, sebelum dimasukkan ke dalam kotak.

Bagaimanapun, apabila ia mula berbau kuat, tertuduh dikatakan meminta bantuan rakan untuk membuang kotak berisi mayat kekasihnya itu di tepi jalan berkenaan.

Tertuduh kemudian didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada 23 Jun 2019 atas tuduhan membunuh sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, untuk perbicaraan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast