JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang tertembak di bahagian dada kini berada dalam proses pemulihan selepas selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Lek Khang masih belum boleh menerima pelawat termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih berada dalam fasa pemulihan.
“Buat masa ini beliau masih dalam ‘recovery period‘. Jadi kita tunggu sehingga beliau keluar dari dewan bedah, masuk ICU, baru boleh lawatan dilakukan dan ketika itu kita akan tahu keadaan sebenar beliau.
“Operasi sudah selesai, baru lepas. Disebabkan dia sahabat saya, saya sendiri menunggu untuk melihat keadaannya,” katanya mengulas mengenai perkembangan Lek Khang.
Ahli Parlimen Larut itu ditemui di pekarangan HSI pukul 12 tengah malam tadi yang hadir bersama-sama beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.
Hamzah mengakui terkejut menerima berita tersebut dan mahu menunggu laporan rasmi polis sebelum membuat sebarang andaian.
“Sudah tentu saya terkejut. Sebagai seorang sahabat, saya melihat apa yang berlaku ini, kita sendiri tidak tahu sebab apa dan sebagainya.
“Jadi saya akan tunggu dan saya juga mahu mendapatkan laporan polis terlebih dahulu,” katanya lagi.
Lek Khang dilaporkan cedera selepas dipercayai tertembak diri sendiri, dalam kejadian petang semalam.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika beliau sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette
















