Yeap Quah Chia Yong didenda RM17,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas kesalahan menjadi keldai akaun.

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat didenda RM17,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan berkaitan ‘keldai akaun’, tahun lalu.

Yeap Quah Chia Yong, 30, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati secara tidak langsung menggunakan akaun bank miliknya bagi suatu transaksi kemasukan wang berjumlah RM100,000 tanpa maksud yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan di hadapan Perpetual Memorial Park, Kulai pada 28 Januari 2025.

Oleh itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman dengan penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM4,950 ke dalam akaun bank atas nama SMYEE Tech Sdn Bhd yang mana syarikat tersebut adalah miliknya.

Chia Yong dituduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Iris Indah, Rumah Bandar Iris Indahpura, Kulai, pada 27 Januari 2025.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan satu bentuk hukuman yang setimpal memandangkan melibatkan jumlah kerugian yang besar selain menjadi pengajaran kepada masyarakat susulan pertambahan kes penipuan dilaporkan.

Tertuduh yang menghidap penyakit kencing manis memohon hukuman yang minima kerana berpendapatan tidak sampai RM3,000 dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Lelaki itu yang mendakwa dirinya mangsa keadaan mendedahkan dia berdepan dengan 12 pertuduhan berkaitan ‘keldai akaun’ secara keseluruhan dan pernah dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, sebelum ini bagi kesalahan yang sama.

“Saya diperdaya kenalan di Facebook yang mengarahkan saya untuk mendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membuka akaun syarikat sebagai syarat untuk berniaga bersama-sama manakala dia akan keluarkan modal perniagaan sepenuhnya.

“Selepas menyerahkan buitran maklumat lengkap termasuk daftar masuk syarikat dan kata laluan akaun bank itu, saya tak dapat hubungi dia lagi,” ujarnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan diperintahkan hukuman penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast