Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menilai kemelut politik di Negeri Sembilan menunjukkan tanda-tanda awal kesan luar jangka, terutama kepada UMNO.

Menurut bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, UMNO mungkin melihat tindakan mengambil alih kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai langkah natural untuk menguatkan kedudukan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Katanya, UMNO juga mungkin yakin BN adalah gabungan terkuat kerana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) ada masalah dalaman.

Selain itu, ujar beliau, UMNO mungkin merasakan tindakan di Negeri Sembilan menjadi langkah pemula untuk menekan supaya pilihan raya negeri-negeri mula berlaku, mungkin bermula di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

“Dari kejayaan-kejayaan ini, akan membina gelombang untuk menang besar dalam PRU16 secara solo.

“Itu mungkin matlamat-matlamat UMNO,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Namun, ujar Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, kesan luar jangka yang tidak diteliti UMNO ialah tindakan di Negeri Sembilan itu mengingatkan orang ramai dan pengundi atas pagar kenapa UMNO dikalahkan di tempat tercorot (dari kalangan gabungan-gabungan yang bertanding) dalam PRU lalu.

“Sebabnya ialah pengundi atas pagar lebih sukar dipengaruhi dan pandangan pengundi atas pagar itu menyebabkan kesan luar jangka,” katanya.

Terdahulu, kata Rafizi, episod terkini di Negeri Sembilan menunjukkan beberapa perkara yang ahli politik jarang ambil kira dalam membuat keputusan, iaitu konsep dipanggil “unintended consequences” atau “kesan luar jangka”.

Jelasnya, dalam dunia yang maklumat sampai melalui media sosial, setiap keputusan itu akan ditafsir mengikut lensa peribadi.

“Pandangan orang ramai tidak boleh lagi dikawal oleh beberapa instrumen maklumat yang dikawal kerajaan atau orang berkuasa, seperti sebelum zaman media sosial.

“Tujuan sesuatu tindakan diambil mungkin berlainan, tetapi bergantung kepada naratif yang akhirnya terbentuk, tindakan politik akan dinilai berlainan dari tujuan asal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast