Ab Rahaman Arsad menunjukkan satu daripada pistol yang meletup dan tertembak Lek Khang, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menafikan bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang cedera akibat tertembak oleh rakannya sendiri selepas menjalani latihan menembak di sebuah lapang sasar di Ladang REM, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sebaliknya kejadian berlaku ketika pistol yang digunakannya semasa latihan meletup tiba-tiba ketika sedang dibersihkan sehingga peluru terkena bahagian dadanya.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan serius apabila peluru menembusi bahagian dada kiri.

“Mangsa dipercayai tertembak secara tidak sengaja ketika sedang mengosongkan senjata api jenis pistol selepas selesai menjalani latihan menembak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, sembilan saksi di lokasi sudah dipanggil dan berdasarkan keterangan mereka, kejadian berlaku semasa mangsa mengendalikan senjata api miliknya sebelum satu das tembakan dilepaskan dan terkena dirinya sendiri.

“Seramai sembilan individu berada di lokasi ketika kejadian termasuk lima pengawal peribadi, anak tiri lelaki berusia 19 tahun serta jurulatih dan rakan mangsa. Semua mereka telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri selepas kejadian dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi dan kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari dada.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa memiliki lesen sah untuk dua pucuk pistol dan sepucuk senapang patah bagi tujuan keselamatan serta sukan menembak.

“Pihak polis turut merampas dua jenis senjata api jenis Sig Sauer dan Master Piece Arm, kelopak peluru dan peluru yang digunakan semasa latihan untuk tujuan siasatan lanjut termasuk analisis forensik dan balistik,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata api tanpa alasan munasabah serta Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Selain itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur kecuaian namun menegaskan siasatan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang kesimpulan dibuat.

Terdahulu portal ini melaporkan Lek Khang cedera akibat tertembak diri sendiri dan sudah selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini malam tadi dan kini dilaporkan berada dalam proses pemulihan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast