GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah operator penyewaan kenderaan elektrik (EV) tiga roda di Persiaran Karpal Singh di sini, menghentikan operasi serta-merta selepas insiden membabitkan tiga beranak yang cedera, Ahad lalu.
Arahan itu dikeluarkan susulan kejadian kenderaan dinaiki mangsa terbalik dipercayai akibat kegagalan sistem brek dalam kejadian sekitar jam 7.50 petang.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, hasil pemeriksaan mendapati operator terbabit memiliki lesen sah, namun hanya untuk penyewaan ‘nine board’, skuter lipat dan ‘kiddies ride’ yang diluluskan pada 10 April lalu.
“Siasatan di lokasi mendapati operator berkenaan melanggar syarat lesen apabila menyediakan sewaan motosikal jenis skuter yang tidak dibenarkan.

“Sehubungan itu, MBPP telah mengeluarkan surat meminta penjelasan daripada pihak operator dan mengarahkan aktiviti berkenaan dihentikan serta-merta,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang menjalankan aktiviti tanpa kelulusan sah daripada MBPP.
“MBPP akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, selain terus memantau keadaan melalui kamera litar tertutup yang telah dipasang di kawasan berkenaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
3 sekeluarga cedera EV roda tiga terbalik di Persiaran Karpal Singh
Media semalam melaporkan, seorang lelaki, Lim Yong Chien, 33, patah jari kelingking tangan kanan serta luka di ibu jari kaki, manakala isterinya, Loh Jo Yi cedera dalaman dan bengkak pada kaki kanan akibat EV tiga roda yang dinaiki mereka terbalik dipercayai akibat kegagalan sistem brek.
Selain itu, anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun pula terpaksa menerima jahitan akibat mengalami kecederaan di dahi.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan telah membuat laporan polis bagi mendesak tindakan terhadap operasi berkenaan, selain mengelakkan kejadian sama berulang yang boleh mengancam keselamatan orang awam. – MalaysiaGazette
















