KUALA LUMPUR – Usaha penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih popular dengan panggilan Namewee untuk menggugurkan dua pertuduhan dadah yang dihadapinya tidak berhasil apabila Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan.
Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, di Mahkamah Majistret hari ini di hadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di sini hari ini.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 29 Mei depan bagi pengurusan kes.
Difahamkan, dalam representasi yang dikemukakan awal tahun ini, Namewee memohon agar pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, atau sekurang-kurangnya meminda kepada kesalahan lebih ringan.
Pada Januari lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki 0.78 gram sildenafil serta pertuduhan pindaan memiliki 1.57 gram methamphetamine.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bilik di Banyan Tree Hotel Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2025.
Sildenafil ialah bahan terkawal yang lazim digunakan dalam ubat bagi merawat masalah disfungsi erektil.
Penyanyi itu sebelum ini ditahan di sebuah hotel di ibu negara selepas membuat laporan mengenai kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin. – MalaysiaGazette
















