ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan dan enam mangsa di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Sungai Petai di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu melibatkan sebuah Proton Saga, Perodua Myvi dan motosikal jenis Yamaha Y16.
“Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah di lokasi, terdapat empat mangsa dari Proton Saga terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia 19 tahun mengalami trauma.
“Mangsa lelaki berusia 35 tahun yang menunggang motosikal bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, seorang lagi mangsa, wanita berusia lingkungan 50-an yang memandu Perodua Myvi tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















