Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Ketua Menteri Melaka. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengalu-alukan hasrat Pas untuk bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau lebih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, semua parti mempunyai hak masing-masing dalam sistem demokrasi di negara ini dan ianya tidak wajar dihalang.

“Saya nak bagitahu bahawa ini pentas demokrasi Melaka. Siapa nak bertanding, bila nak bertanding 20 kerusi pun kita tak ada larang. Itu hak parti dia. Ini negeri kita mengurus tadbir bukan kita punya.

“Ini pentas pentas demokrasi. Kalau Pas kata nak bertanding 15 kerusi, 20 kerusi itu hak parti dia. Dia mesti tahu kekuatan dia, dia mesti tahu keperluan dia, itu kita tak boleh nak larang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri bagaimanapun menegaskan UMNO dan BN akan terus mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini sambil menilai strategi terbaik menjelang PRN.

“UMNO akan kekal bertanding kerusi yang mana kita menang dan kita akan pertimbangkan lagi sebab pilihan raya ini akan memungkinkan 1,001 kemungkinan.

“Jadi kita tengok apa yang berlaku, jangan main-main (politik ini) tak ada permanent friends, tak ada permanent enemies”. Saya juga tidak membuka pintu seluas-luasnya dan tak menutup pintu serapat-rapatnya,” katanya.

Ditanya mengenai adakah UMNO akan menampilkan calon muka baharu pada PRN kali ini, Ab Rauf berkata, pemimpin perlu bersikap adil kepada generasi masa depan negara.

“Kita kena adil, membina bersama-sama supaya menjadi warisan kepimpinan pada masa depan. Kalau kita tengok
zaman saya sebagai pengerusi perhubungan, kita berjaya membawa lebih 86 peratus muka baharu.

“Ini termasuklah, Dr Akmal (ADUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh), Along (ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan) dan Dira (ADUN Rim, Datuk Khaidira Abu Zahar), jadi nak kata siapa muka lama semua yang ada ini baru satu penggal,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail mengesahkan parti itu akan bertanding di 16 kerusi DUN pada PRN Melaka Ke-16 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Jelas Ahli Parlimen Jasin itu lagi, kerusi-kerusi berkenaan adalah DUN Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. pada pas sila letak calon lawan di kerusi yang dimenangi DAP ..ini baru dikata bercakap terus buat .jangan pulak marah DAP tak suka DAP .tapi biarkan kerusi DAP ditandingi tanpa pas atau bersatu .nk mengharapkan pada parti gabungan seperti gerakan mIpP memang tak berbaloi .kadang tahap kepercayaan pada parti gabungan tadi ada ruang untuk pertikai .jadi sila lah letak calon di kerusi DAP sama .jika menang pas baru lah kata pas terbaik .jika tidak setakat berpolitik ja lah.

Comments are closed.