Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menilai Nurul Izzah Anwar kini berada dalam kedudukan yang sangat sukar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, ia menjawab kepada soalan yang semakin jelas timbul iaitu di mana Nurul Izzah dalam isu-isu besar parti dan negara selepas setahun menjadi Timbalan Presiden PKR.

Kata Rafizi, sebagai Timbalan Presiden, rakyat dan anggota parti mengharapkan kepimpinan, pendirian dan impak.

Ujar beliau, pada masa sama Nurul Izzah berada terlalu dekat dengan pusat kuasa, sehingga setiap langkah yang diambil akan dibaca dalam bayang-bayang bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, apabila timbul isu dalaman parti, keputusan pilihan raya negeri, soal rasuah, kontroversi Tan Sri Azam Baki dan pelbagai tekanan politik lain, keadaan itu menjadikan Nurul Izzah semakin tersepit.

“Jika ke depan, ia boleh menyukarkan parti dan Perdana Menteri.

“Jika berdiam diri, rakyat akan mula bertanya apakah sebenarnya peranan dan impak beliau sepanjang setahun ini.

“Itulah dilema yang sedang menghimpit PKR sekarang.

“Sebab itu soalan ini semakin sukar untuk dielakkan,” katanya menerusi Facebook beliau semalam.

Dalam pemilihan PKR pada Mei lalu, Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden selepas menewaskan Rafizi yang juga penyandang jawatan kedua tertinggi parti tersebut.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi berbanding Rafizi yang meraih 3,866 undi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast