Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Jika UMNO Pusat setuju dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di Negeri Sembilan menolak Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar, usul tidak percaya perlu dibentang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, semua 14 ADUN UMNO terbabit harus berbuat demikian untuk mendapatkan keabsahan Aminuddin.

“Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak boleh ditukar ganti di luar DUN Negeri Sembilan. Keabsahan Menteri Besar perlu diuji dengan undi di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Jika Menteri Besar Aminuddin Harun kalah dalam usul tidak percaya ke atas dirinya, bukan dia sahaja yang tumbang tetapi seluruh kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan tumbang bersamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika pilihan itu diambil UMNO Pusat dan UMNO Negeri Sembilan, maka timbul persoalan bolehkah mereka menyatakan UMNO tetap menyokong kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan

“Jika kerajaan Perpaduan PH-BN tumbang akibat usul tidak percaya itu, adakah UMNO Malaysia masih boleh bercakap bahawa ia kekal menyokong kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan?

“Jelaslah pendirian UMNO Malaysia yang saling bercanggah itu tidak selari dengan hakikat amalan Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama-sama 14 ADUN UMNO mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Terkini kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kekal sah pada ketika ini selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast