KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man membatalkan tempahan pakej percutian ke luar negara sebelum menuntut agar pembayaran yang dijelaskan oleh kerajaan negeri kepada syarikat pelancongan, dibayar kepadanya.
Pegawai penyiasat kes, Penguasa Kanan M. Theenmoly, 41, berkata, arahan pembatalan itu dikeluarkan kepada bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Herwadey Hashim untuk dimajukan kepada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. dan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd.
Menurut saksi pendakwaan ke-20 (SP20), susulan arahan itu, kedua-dua syarikat tersebut membatalkan pakej percutian ke London, United Kingdom (UK) dari 2014 hingga 2017 dan memulangkan sejumlah RM1.06 juta.
“Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank Datuk Seri Azlan Man menerusi empat keping cek dan satu transaksi wang tunai sebanyak RM207,468,” ujar beliau dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas Menteri Besar itu.
Theenmoly kini bertugas sebagai pegawai siasatan di Unit Integriti, Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.
Saksi selanjutnya berkata, beliau mengesan kesalahan berat telah dilakukan iaitu penyalahgunaan harta milik kerajaan negeri kerana menerima wang hasil pembatalan pakej percutian tersebut.
Jelas beliau, pakej percutian seberang laut itu dipohon oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi kaedah pembayaran secara pesanan tempatan (LO), walhal perjalanan itu tidak berlaku.
Ujar beliau, siasatan mendapati, LO dibayar sebanyak lima kali iaitu tiga pembayaran kepada Sri Kedawang dan dua lagi kepada Aidil Travel di antara 2014 dan 2017 berjumlah RM1.18 juta.
Ujar pegawai penyiasat itu, wujud keterangan yang menunjukkan Azlan menerima wang hasil aktiviti haram menerusi pembatalan pakej percutian ke luar negara.
Selain itu katanya, keterangan Norazlan Yahaya yang ketika itu Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis menyebut, tiada kelulusan dikeluarkan yang membolehkan tertuduh menggantikan kemudahan cuti seberang laut dengan wang tunai bagi 2013 hingga 2017.
“Berdasarkan siasatan, Datuk Seri Azlan Man tidak boleh memilih dibayar tunai bagi Cuti Seberang Laut KL-London dan hotel penginapan bagi tahun 2013 hingga 2017,” ujarnya.
Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan bersambung pada 19 Jun dengan mendengar keterangan saksi terakhir pendakwaan.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Noralis Mat mewakili pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.
Azlan, 67, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau juga didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Selain itu, Azlan berdepan lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd. – MalaysiaGazette
















