TOKYO – Harga minyak mentah melonjak lebih tujuh peratus pada Khamis selepas laporan menyatakan tentera Amerika Syarikat (AS) akan memberi taklimat kepada Presiden Donald Trump mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran ketika rundingan untuk membuka semula Selat Hormuz menemui jalan buntu.
Kontrak minyak meningkat 7.1 peratus kepada AS$126.41 setong dalam dagangan Asia, manakala West Texas Intermediate naik 3.4 peratus kepada AS$110.31.
Kedua-duanya kemudiannya turun sedikit.
Trump dijangka menerima taklimat daripada Brad Cooper, Komander United States Central Command ( CENTCOM), lapor Axios yang memetik dua sumber.
Taklimat itu menunjukkan Trump sedang mempertimbangkan secara serius untuk memulakan semula operasi ketenteraan berskala besar sama ada bagi memecahkan kebuntuan rundingan atau memberikan serangan terakhir sebelum menamatkan perang, menurut laporan tersebut.
Ia turut menambah, CENTCOM telah menyediakan pelan untuk gelombang serangan “singkat tetapi berkuasa” ke atas Iran berkemungkinan termasuk sasaran infrastruktur dengan harapan dapat memecahkan kebuntuan rundingan. – MalaysiaGazette
















