KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas diperdaya tawaran kerja lumayan sebelum dipaksa menjadi ‘scammer’ di Shwe Kokko, Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim mendedahkan, mangsa berusia 24 tahun itu kini dipercayai masih terperangkap di kawasan berkenaan bersama beberapa lagi rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di lokasi sama.
Menurutnya, mangsa sebelum itu ditawarkan pekerjaan di kasino di Thailand dengan gaji sekitar 80,000 Baht serta komisen mencecah 100,000 Baht sebelum bersetuju menerima tawaran tersebut.
“Namun sebaik tiba di Bangkok, mangsa dibawa menaiki van dan dipindahkan beberapa kali sebelum diseludup masuk ke Myanmar tanpa pengetahuannya.
“Laluan yang dikenal pasti adalah melalui Bangkok ke Chiang Mai, kemudian ke Mae Sot sebelum dibawa masuk ke kawasan Shwe Kokko,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Hishamuddin berkata, mangsa kemudiannya ditempatkan di sebuah pusat penipuan dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ yang menyasarkan warga China di bawah kawalan ketat sindiket.
“Telefon bimbit serta pasport mangsa dirampas, selain dia turut dipukul dan diugut akan dikenakan renjatan elektrik jika enggan mengikut arahan.
“Ini jelas menunjukkan mangsa berdepan eksploitasi serius dan elemen pemerdagangan manusia,” tegas beliau.
Katanya lagi, sindiket terbabit kini menuntut bayaran tebusan kira-kira RM130,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.
“Kita juga mengenal pasti sekurang-kurangnya lima rakyat Malaysia berada di lokasi sama dan dipercayai menjadi mangsa sindiket ini,” ujarnya.
Menurutnya, pihak MHO kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand serta agensi berkaitan bagi menjalankan rundingan dan usaha membawa pulang semua mangsa terlibat.
“Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan lebih proaktif dengan memperkukuh kerjasama rentas sempadan bagi mempercepatkan proses menyelamat dan membawa pulang mangsa yang masih terperangkap di kawasan berisiko tinggi ini.
“Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji tinggi tanpa melalui saluran sah kerana ia sering menjadi taktik sindiket pemerdagangan manusia,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















