JOHOR BAHRU – Polis menahan dua anggota tentera bagi membantu siasatan kes seorang anggota tentera yang cedera parah selepas insiden ketika latihan yang didakwa berlaku di Kem Iskandar, Mersing pada 11 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 11.45 malam pada 14 Mac lalu selepas pihaknya menerima aporan polis.
“Mangsa yang berusia 25 tahun mengalami retak pada bahagian tengkorak kepala selain pendarahan dalam otak dan kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 8.31 malam, pada 14 Mac lalu.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing menahan dua anggota tentera dari kem yang sama kerana disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, polis turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Menurutnya, siasatan selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 28 April lalu bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Lawyers for Liberty (LFL) menerusi wakilnya, N Surendran dalam sidang media hari ini mendedahkan anggota komando muda terbabit kini bertarung nyawa apabila mengalami kecederaan parah sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dikeluarkan, selepas insiden ketika latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar).
Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa serta barisan peguam, mangsa, Trooper Abdul Hamid Talib, 25, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Dimaklumkan beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri, tidak mengenali persekitaran, tidak mampu bercakap, menerima pemakanan melalui tiub serta bergantung kepada bantuan pernafasan melalui trakeostomi.
Menurut Surendran, keluarga pada awalnya dimaklumkan mangsa hanya ‘terjatuh’ namun penjelasan itu disifatkan tidak munasabah memandangkan tahap kecederaan yang dialami.- MalaysiaGazette
















