SEMPORNA – Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 40.73 gram dalam satu operasi di Kampung Sungai Nasip, di sini, semalam.
Menurut kenyataan di Facebook, tangkapan kira-kira jam 5.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Pos Komtak Mabul, Kompeni A, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am Kunak di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, suspek berusia 25 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dipercayai menganggur.
Katanya, pemeriksaan awal menemukan sembilan paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki syabu seberat 1.87 gram yang disembunyikan dalam bekas biru.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 15 paket plastik lutsinar berisi bahan sama seberat 38.86 gram yang disembunyikan dalam plastik merah,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah 40.73 gram dengan anggaran nilai RM3,000.
“Selain itu, wang tunai sebanyak RM920 turut dirampas bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette















