KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 69 individu dalam operasi bersepadu Operation Cyber Guardian 2026 yang menyasarkan jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian merentasi tujuh negara.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, kesemua 69 individu yang ditahan berusia antara 15 hingga 66 tahun termasuk penjawat awam yang tidak didedahkan identitinya.
“Siasatan mendapati penglibatan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam serta kes yang menunjukkan aktiviti pengedaran dan penjualan CSAM secara aktif.
“Sebanyak 126 barang kes dirampas termasuk 124 peranti digital telefon bimbit, komputer riba dan storan digital serta dua alat mainan seks,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Operasi yang berlangsung dari 23 Mac hingga 17 April itu melibatkan kerjasama Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
Di Malaysia, serbuan dijalankan pada 6 hingga 8 April melibatkan 101 sasaran di seluruh negara dengan kekuatan 339 pegawai dan anggota, termasuk sokongan teknikal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Khalid juga berkata, pemeriksaan awal turut menemui sebanyak 498,694 fail digital, merangkumi 204,934 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan 293,760 fail pornografi dewasa.
“Secara keseluruhan, termasuk Operation Cyber Guardian 2026, sebanyak 117 tangkapan telah dibuat, 274 barang kes dirampas serta 1,470,694 fail CSAM dan bahan lucah telah dikenal pasti,” katanya.
Menurut Khalid, siasatan polis mendapati kegiatan ini semakin tersusun dan berunsur komersial termasuk penggunaan aplikasi tertutup serta transaksi e-dompet dan kod QR bagi menjual akses kepada bahan terlarang.
“Modus operandi jenayah ini melibatkan penggunaan ekosistem digital secara tersusun bagi mengakses, menyimpan dan mengedar bahan CSAM melalui pelbagai platform dalam talian termasuk aplikasi komunikasi tertutup.
“Aplikasi Telegram dikesan paling tinggi digunakan untuk tujuan pengedaran dan penjualan bahan CSAM. Akses mudah kepada bahan lucah dalam talian meningkatkan risiko pendedahan dan penglibatan golongan kanak-kanak serta remaja.
“Jenayah ini tidak lagi bersifat individu semata-mata, sebaliknya menunjukkan perkembangan ke arah aktiviti yang lebih tersusun dan bermotifkan keuntungan,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka di bawah pelbagai undang-undang termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dari jumlah itu, 62 kes telah dituduh di mahkamah melibatkan 81 pertuduhan, dengan sebahagian tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara dan denda, manakala selebihnya masih dalam proses perbicaraan,” katanya.
Khalid juga menegaskan PDRM akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat serta menggesa masyarakat meningkatkan pemantauan penggunaan peranti digital dalam kalangan kanak-kanak.
“Jenayah ini kini semakin kompleks dan merentas sempadan, justeru kerjasama berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa amat penting bagi melindungi golongan kanak-kanak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















