KUANTAN – Kerajaan negeri menyambut baik keputusan meneruskan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri serta semua pihak terbabit dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 bersetuju kos penganjuran acara itu dikurangkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Seperti dipersetujui dalam mesyuarat secara dalam talian yang disertai semua Exco Sukan dari seluruh negara hari ini, bersetuju untuk meneruskan SUKMA dengan perbelanjaan lebih berhemah.
“Ada beberapa cadangan supaya penjimatan dapat dilakukan yang perlu diperhalusi oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan.
“Tapi pokok pangkalnya kita nak SUKMA di teruskan sebab atlet kita dah berlatih hampir dua tahun untuk persediaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Naik Taraf Stadium Hoki Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Beliau berkata, acara berkenaan penting untuk diteruskan agar kemampuan dan tahap pencapaian atlet dapat diuji.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Stadium Hoki Indera Mahkota di sini telah siap dan sedia digunakan selepas proses naik taraf yang bermula sejak bulan Oktober 2024.
Fadzli meluahkan keyakinan bahawa fasiliti itu dapat membuka lembaran baru kepada bidang sukan Hoki di negeri ini yang katanya mencatat prestasi membanggakan.
“Ramai jaguh-jaguh negara yang lahir dari Bumi Pahang. Ramai yang membarisi skuad kebangsaan sekarang. Jadi, saya amat berharap dengannadanya kemudahan terbaru ini akan memberi kesempatan dan ruang kepada peminat Hoki di negeri ini merencana lebih banyak kejohanan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberitahu terdapat perkara yang boleh ditambah baik terutama dari segi fasiliti sokongan seperti lampu limpah dan bilik persalinan yang diharap dapat diselesaikan tahun ini juga.
Sebagai rekod, stadium berkenaan dibina pada 1996 dan kali terakhir padang tiruan ditukar pada 2012 yang hanya membabitkan kerja menukar padang sahaja tanpa membabitkan alas atau bahan di bawah padang.
Terkini, proses menaik taraf padang terbabit dengan jumlah peruntukan RM3.3 juta turut melibatkan setiap lapisan di bawah padang, padang rumput tiruan (astroturf), kerja pendawaian semula peralatan elektrik serta saluran dan pam air baharu. – MalaysiaGazette
















