ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan ucapan syabas di atas pengiktirafan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai antara World’s Best Hospital 2026.
Baginda yakin pencapaian itu adalah hasil usaha bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kecekapan sistem kesihatan Johor yang kini berada pada landasan yang tepat.
“Dalam masa sama pelbagai inisiatif seperti menambah baik fasiliti, pelaksanaan sistem digital serta pendekatan inovatif bagi mengurangkan kesesakan perkhidmatan hospital juga sudah berjaya meningkatkan pengalaman dan keselesaan pesakit.
“Namun suka saya ingatkan bahawa sektor kesihatan adalah kritikal dan tidak boleh ditangguhkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Pencapaian HSA tersebut dianugerahkan oleh Newsweek dan Statista. – MalaysiaGazette
















