TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mengulangi gesaan agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini.

Baginda bertitah, pemulangan hasil cukai itu nanti akan membolehkan Johor tidak terlalu bergantung kepada Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Titah Tunku Ismail, Johor merupakan antara penyumbang utama kepada hasil negara tetapi pulangan yang diterima masih tidak setimpal dengan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Justeru, saya ingin menggesa kepada Kerajaan Persekutuan bahawa sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai yang dijana oleh Johor sekurang-kurangnya 25 peratus dipulangkan semula kepada negeri ini.

“Ini penting agar Johor dapat mengurus keperluan rakyat dengan lebih cekap tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses kelulusan yang begitu panjang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Tunku Ismail mengharapkan Johor perlu ruang untuk berdiri dengan lebih berdikari selaras dengan peranannya sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara.

Pada tahun lalu, Pemangku Sultan Johor pernah membangkitkan isu sama apabila baginda dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.

Baginda bertitah pada masa kini, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion termasuk mencipta sejarah pada tahun 2025, apabila merekodkan RM110 bilion pelaburan yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.

“Pencapaian ini telah membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

“Saya juga dimaklumkan bahawa hasil negeri Johor terus meningkat mencecah RM2.6 bilion pada tahun 2025. Ia menunjukkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus kerajaan negeri dalam mengurus sumber dan hasil dengan baik,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast