KUALA LUMPUR – UMNO Malaysia menghormati pendirian Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun.
Bagaimanapun menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO Malaysia memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
“UMNO Malaysia juga telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN-ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia, malam tadi.
Tegas beliau, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.
Sehubungan itu, parti berkenaan amat memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu Asyraf memaklumkan, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan. -MalaysiaGazette
















