KUALA LUMPUR – Lapan dekad merupakan satu angka yang bukan sekadar melambangkan usia tetapi sebuah ‘angka keramat’ yang menyaksikan jatuh bangun sebuah parti yang pernah dianggap sebagai panglima perjuangan pembangunan negara.
Felo Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, tahun 2026 menjadi saksi, UMNO yang menyambut ulang tahun ke-80 kini tidak lagi sekadar menoleh mengimbau memori lama.
Menurutnya, parti itu sedang berdiri di persimpangan untuk membina masa depan melalui satu naratif besar iaitu Rumah Bangsa.
“Sambutan kali ini membawa aura yang sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat adalah pada semangat ahli itu sendiri.
“Jika suatu ketika dahulu, lorong-lorong di World Trade Centre (WTC) suram dan malap selepas titik terendah pada tahun 2018 kini suasananya sudah berubah 180 darjah.
“Kita lihat lain wajahnya di WTC itu. Kita lihat wajah keceriaan, wajah kebanggaan.
“Kalau sebelum ini suasananya agak malap dan suram, namun sejak setahun dua ini, ia kembali bercahaya,” katanya menerusi program SKOP MG.
Beliau berkata, perbezaan ketara itu didorong oleh kedudukan strategik UMNO yang kini menjadi teras dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kebijaksanaan kepimpinan dalam mengemudi perjuangan politik selepas pilihan raya umum lalu telah mengembalikan maruah ahli yang sebelum ini mungkin ada yang ‘malu’ untuk mengaku sebagai pejuang UMNO.
“Bukan sekadar sorakan di dewan, kebangkitan ini turut diterjemahkan dalam bentuk angka yang cukup luar biasa,” katanya lagi.
Beliau berkata, parti itu menerima pendaftaran baharu yang begitu memberangsangkan hanya dlam tempoh empat hari iaitu melebihi 11,000 ahli baharu melalui sistem dalam talian.
“Ini adalah bukti UMNO sedang melalui proses ‘pemulihan’ yang tulen.

“Ini satu kesedaran baru. Mereka yang mungkin dulu marah kepada UMNO, kini mula kembali, malah anak-anak muda mula melihat UMNO sebagai parti yang stabil dan berprestasi tinggi dalam kerajaan sekarang,” tambahnya.
Mengenai konsep Rumah Bangsa yang disebutkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau mengakui ada pihak yang mempersoalkan adakah ia sekadar strategi politik atau anjakan paradigma sebenar
“Konsep ini adalah satu wadah perlindungan dan pembangunan Melayu-Bumiputera yang inklusif.
“Kehadiran semula tokoh-tokoh besar seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin dalam majlis-majlis rasmi parti juga dilihat sebagai satu ‘suntikan psikologi’ yang amat penting untuk menyatukan semula saf kepimpinan yang pernah retak.
“Ternyata, pada usia 80 tahun, UMNO bukan lagi parti yang hanya bergantung kepada nostalgia kemerdekaan.
“Dengan gaya kepimpinan yang lebih anjal, terbuka dan berani memberikan ruang kepada anak muda bawah 30 tahun, Rumah Bangsa nampaknya sedang diperkukuh untuk mendepani pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi,
Beliau berkata, anjakan paradigma ini mampu menjadikan UMNO kembali dominan jika mendapat kerjasama dan kepercayaan masyarakat. – MalaysiaGazette















