Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR –  Wanita UMNO perlu mengakui pemikiran anak muda hari ini sudah tidak sama seperti dahulu kerana golongan itu tidak boleh lagi dipimpin menggunakan pendekatan atau acuan lama.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, anak-anak muda ketika ini mahukan suara mereka didengar dan jaminan masa depan selain memerlukan peluang untuk membuktikan kemampuan diri generasi itu.

Oleh itu katanya, sayap UMNO itu mesti menyediakan platform yang sentiasa membuka ruang kepada mereka dan tidak boleh menutup pintu kepada idea-idea segar orang muda.

“Sebab itulah, dalam setiap gerak kerja yang Wanita UMNO lakukan, ada empat perkara besar yang sentiasa kita jadikan pegangan. Sangat penting dan dekat di hati saya, kita mesti membina generasi pelapis yang berani dan sentiasa relevan dengan peredaran zaman.

“Kita mahu sentiasa meraikan bakat dan kehebatan wanita. Kita nak tunjukkan yang wanita kita ini bukan biasa-biasa. Di sebalik kelembutan seorang wanita, ada bakat besar dan potensi yang kalau digilap, boleh pergi sangat jauh.

“Kita mahu terus menyuburkan nilai-nilai murni dalam masyarakat tetapi biarlah dengan pendekatan yang santai dan mudah diterima.

“Melalui platform seni pula, saya sangat berharap kita dapat membina keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan kita.  Bila kita berani melangkah naik ke atas pentas, berani berhadapan dengan orang ramai, secara tak langsung kita sedang membina karakter diri yang kuat. Inilah ciri-ciri pemimpin wanita yang kita mahukan,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama ahli baru UMNO ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 sempena Sambutan 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, dalam usaha Wanita UMNO untuk merancakkan program-program kesenian, fokus bukan kepada siapa yang bakal mebawa pulang piala.

“Ya, memang semua yang bertanding nak menang, itu lumrah. Tetapi, pentas yang ada di depan mata kita hari ini sebenarnya membawa makna yang jauh lebih besar.

“Inilah platform dan ruang terbaik untuk kita sampaikan mesej-mesej kehidupan yang positif kepada anak-anak kita yang sedang membesar, kepada keluarga dan juga kepada rakan-rakan di sekeliling kita,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast