Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy menyifatkan pengumuman sempena Hari Pekerja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah reformasi yang memberi manfaat terus kepada golongan pekerja dan bukan sekadar slogan politik.

Beliau berkata, amanat bertemakan ‘Pekerja Madani, Kesuma Bangsa’ itu menunjukkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan pekerja ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi serta ketidaktentuan pasaran global.

Menurutnya, antara pengumuman paling signifikan ialah pelaksanaan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) di bawah Akta Sistem Insurans Pekerja 2017.

Jelas Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan itu, inisiatif tersebut membolehkan pekerja wanita menerima tambahan cuti sehingga 30 hari selepas tempoh cuti bersalin 98 hari dengan bayaran 80 peratus gaji.

“Langkah ini dijangka memanfaatkan lebih 132,000 wanita dan secara tidak langsung membantu meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita dalam negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Sivamalar berkata, kerajaan turut mengambil langkah tepat apabila memperluaskan perlindungan PERKESO ke luar negara bermula dengan pekerja Malaysia di Singapura.

Menurutnya, langkah itu melibatkan sehingga 480,000 pekerja Malaysia dan penting bagi memastikan perlindungan sosial pekerja rentas sempadan terus terjamin.

Manakala Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 (PACE) bernilai RM710 juta pula memperlihatkan usaha kerajaan membantu pekerja dan industri menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Katanya, pakej tersebut memberi fokus kepada perlindungan pekerjaan, latihan kemahiran, kebolehgajian serta pembangunan bakat muda.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 yang disifatkan mampu melindungi lebih 1.64 juta pekerja gig menerusi rangka kerja perundangan lebih jelas.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, tekanan kos dan pasaran dijangka terus dirasai rakyat dalam tempoh terdekat.

“Sebab itu langkah-langkah diumumkan kerajaan ini penting sebagai intervensi awal untuk membantu rakyat dan mengurangkan beban yang bakal dihadapi,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan diambil kerajaan membuktikan pentadbiran hari ini bukan sekadar membuat pengumuman, sebaliknya melaksanakan dasar yang mempunyai hala tuju jelas serta kesan langsung kepada pekerja dan ekonomi negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast